top of page
Search

Bekas suami meninggal dunia dalam tempoh iddah, bekas isteri layak terima harta pusaka? Ini penjelasan peguam syarie

FARAH AYUNI ZULKEFLI
Aug 7, 2025
2 min read

DALAM rumah tangga, perpisahan antara suami isteri bukan sahaja membawa kesan emosi, tetapi turut melibatkan banyak persoalan daripada sudut hukum termasuk soal hak perwarisan dan pusaka.


Baru-baru ini, tular di media sosial kisah seorang wanita yang masih dalam tempoh iddah selepas diceraikan, namun dikejutkan dengan berita kematian bekas suaminya akibat kemalangan.


Situasi luar jangka itu menimbulkan satu persoalan penting iaitu adakah wanita berkenaan masih berhak mewarisi harta pusaka bekas suaminya.


Nur Syuhada Adnan merupakan peguam syarie bagi Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya dan Negeri Sembilan.
Nur Syuhada Adnan merupakan peguam syarie bagi Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya dan Negeri Sembilan.

Menjawab persoalan tersebut, peguam syarie, Nur Syuhada Adnan menjelaskan bahawa kelayakan seseorang bekas isteri untuk menerima pusaka bergantung sepenuhnya kepada jenis perceraian dan waktu kematian itu berlaku.


“Kalau perceraian berlaku melalui talak raj‘i iaitu talak satu atau talak dua dan suami meninggal semasa tempoh iddah, maka bekas isteri masih dianggap sebagai waris sah. Maka, layak menerima pusaka,” katanya kepada Majoriti.


Ini kerana dalam talak raj‘i, tempoh iddah dianggap sebagai kesinambungan kepada ikatan perkahwinan.


Suami masih boleh merujuk isteri tanpa akad baru dan hubungan itu masih dianggap wujud.


Namun, Nur Syuhada berkata, jika perceraian berlaku secara talak bain, contohnya talak tiga (bain kubra) melalui penceraian fasakh atau tebus talak, maka bekas isteri tidak lagi berhak ke atas harta peninggalan bekas suami walaupun kematian berlaku dalam tempoh iddah.


“Apabila perceraian dah jadi bain, hubungan suami isteri sudah terputus sepenuhnya. Dalam keadaan ini, tiada lagi hak untuk mewarisi pusaka,” katanya.


Bagaimana jika si suami meninggal selepas tempoh iddah?


Nur Syuhada turut menjelaskan bahawa jika kematian berlaku selepas tempoh iddah tamat, bekas isteri tidak akan berhak mewarisi harta peninggalan suami tanpa mengira jenis talak yang dilafazkan sebelum itu.


“Kalau iddah dah habis, kemudian baru bekas suami meninggal dunia, isteri memang tak layak terima pusaka. Tak kisahlah talak satu, dua atau tiga,” katanya. — Majoriti




 
 
 

Comments


Sebagai seorang peguam, saya memahami dan mempelajari bahawa dalam setiap perkara yang dikendalikan adalah untuk memastikan keperluan anakguam berjalan lancar serta memastikan bahawa perlindungan kepentingan undang-undang anakguam saya adalah amat penting.

logo tetuan aimi & najwa associates

Alamat Pejabat:

​​

9-1, Jalan Seri Putra 1/5, Bandar Seri Putra, 43000 Kajang, Selangor

​

​

​

hubungi peguam syuhada adnan

Hubungi untuk sebarang pertanyaan:

​

       013 - 726 8192

​       aiminajwaassociates.syuhada@gmail.com

​

​

​

emel peguam syuhada adnan
  • X
  • White LinkedIn Icon

Copyright © 2024 Nur Syuhada Binti Adnan. All Rights Reserved.

bottom of page